SALAM


Khamis, 5 Mac 2009

ADAB TIDUR/BANGUN




SEBELUM TIDUR

1. Berwudhuk.
2. Menutup aurat.
3. Menghadap kiblat.
4. Membaca surah-surah: al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas. Kemudian ditiupkan ke telapak tangan lalu disapukan ke seluruh tubuh bermula dari kepala sehingga ke kaki. Atau membaca basmalah (Bismilla...) sebanyak 21 kali.
5. Berdoa.

KETIKA BANGUN TIDUR

1. Berdoa.
2. Berwudhuk.
3. Solat Subuh.
4. Perbanyak kesyukuran kepada Allah kerana masih memanjangkan umur.
5. Jika mempunyai masa terluang, isikan dengan mengerjakan solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan bertafakur dan lain-lain ibadat sunat.
6. Usahakan untuk bersolat secara berjamaah.
7. Membuat perancangan apa yang perlu dilakukan spanjang hari.

Selasa, 3 Mac 2009

ANAK KECIL YANG TAKUT API NERAKA

.
.


Dalam sebuah riwayat menyatakan bahwa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.
Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"
Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Qur'an sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum" yang bermaksud, " Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu." Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalm api neraka."
Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."

Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?"

Isnin, 2 Mac 2009

Pengisytiharan Ulama bantah PPSMI

PENDANG, KEDAH, 2 Mac (Hrkh) - 'Pengisytiharan Muafakat Ulama Membela Martabat Melayu' yang diadakan di Madrasah An-Nur, Pendang, dekat sini baru-baru ini membuktikan bahawa golongan ulama juga turut membantah isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilancar sejak tahun 2002.

Berikut adalah teks penuh Pengisytiharan tersebut:-

Segala puji hanya untuk Allah Rabbul 'Alamin, Yang Maha Pengasih, Yang telah mengajar Al-Quran, Dia menciptakan insan, mengajarnya al bayan, Dia cipta semua dengan segala aturannya agar insan tidak merosakkan keseimbangan, supaya ditegakkan kesimbangan itu dengan adil dan tidak mengurangi keseimbangan yang telah disusun dengan peraturanNya.

Selawat dan salam untuk junjungan kekasihNya Rasulullah s.a.w serta ahli keluarga baginda dan seluruh sahabatnya, yang menjadi qudwah hasanah untuk seluruh insan, membawa rahmat untuk sekalian alam, membawa petunjuk dari zulamat kepada nur yang menerangkan, membebaskan perhambaan insan kepada makhluk kepada pengabdiaan hanya kepada Allah, yang mengangkat semua kaum dari Zillah kepada kekecemerlangan 'Izzah Islam.

Memahami bahawa bahasa mempunyai kaitan langsung dengan persoalan falsafah dan pegangan hidup seseorang Muslim,

Memahami bahawa dengan pemisahan agama dari bahasa akan membawa implikasi besar kepada kaum Muslimin dari sudut pandangan hidup Islam yang berasaskan Tauhid,

Menginsafi bahawa kepentingan penggunaan bahasa dalam Islam ada kaitan dengan makna yang boleh memberi kesan kepada nilai dan prinsip asas dalam kehidupan seseorang Muslim,

Meneliti bahawa fungsi bahasa sangat jelas kepentingan dan kedudukannya dalam pengembangan dan penyampaian risalah Islam,

Menginsafi betapa sekularisasi bahasa akan membawa kepada sekularisasi kehidupan kaum Muslimin, lantaran terpisahnya seorang Muslim dari bahasa yang mendidik konsep dan falsafah kehidupan beraqidah akan melunturkan kerangka berfikirnya terhadap tassawur Islam yang benar dan murni,

Menghayati betapa bahasa Melayu telah melalui sejarah Islamisasi yang tersendiri sejak kedatangan Islam di alam Melayu, oleh kerana itu ia telah menjadi bahasa yang terpileh untuk membentuk pegangan hidup Islam dikalangan ratusan juta kaum Melayu di nusantara ini,

Menerima bahawa Bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa Kebangsaan Negara ini,

Mengambil perhatian serius bahawa perlaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) sejak tahun 2002 , telah menjejaskan status dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Negara,

Menyesali bahawa PPSMI telah dilaksanakan dengan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang lebih terperinci dan tanpa mengambil pandangan balas dari ahli cendekiawan dan ilmuan Islam,

Memandang serius bahawa perlaksanaan PPSMI telah memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek mahupun dalam jangka masa panjang kepada tahap prestasi pelajar-pelajar di kawasan luar Bandar,

Memberi perhatian berat kepada perlaksanaan PPSMI yang telah mengenepikan segala usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berkeupayaan tinggi untuk mendidik anak bangsa khasnya dan warga Negara amnya,

Memahami bahawa perlaksanaan PPSMI oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak mengambilkira segala hujah ilmiah berdasarkan undang-undang, sejarah, kesan sosio-budaya, pembinaan jati-diri dan tamadun bangsa, yang telah dibentang oleh pelbagai ahli pakar dan ahli akademik dalam Negara,

Mengesahkan bahawa beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu ada kaitan dengan ta'rif seorang Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan ini bermakna keserasian Bahasa Melayu dengan KeIslaman bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan,

Maka kami sebagai golongan agama yang prihatin terhadap sebarang hal-ehwal yang ada kaitan dengan kedudukan Islam dan kaum Muslimin di Negara ini, berpendirian,

1.MENOLAK perlaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan Negara,

2.MEMBANTAH penerusan perlaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekaligus bahasa Islam,

3.MENEGASKAN bahawa dalil agama untuk mengembalikan pengajaran sains dan Matematik kepada bahasa Melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli berikut:

-Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran adalah matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa ibunda Arab sebagai pengantar untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab.

"Dan demikianlah Kami wahyukan Al Quran kepadamu dalam bahasa Arab , agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibukota (Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang Hari berkumpul (Qiamat) yang tidak diragukan adanya . Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka ". (Asy-Syura: 7)

-Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al Quran memileh bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun islam dalam masyarakat Malaysia.

"Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al Quran berbahasa Arab , agar kamu mengerti" (Surah Yusuf: 2)

"Dan demikian Kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab dan Kami telah menjelaskan berulang-ulang didalamnya sebahagian dari ancaman agar mereka bertaqwa atau agar (Al Quran) itu memberi pengajaran bagi mereka"(Surah Toha: 113)

"Dan sungguh te;lah Kami buatkan dalam Al Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran, iaitu Al Quran dalam bahasa Arab, tiada ada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa" (Surah Az Zumar :27- 28)

"(Al Quran ini) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih , Maha Penyayang , Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan bacaan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui" (Surah Fussilat : 2-3)

"Demi kitab (Al quran) yang jelas . Kami jadikan Al Quran dalam bahasa arab agar kamu mengerti� (Surah Al Zukh�ruf :3) Semua ayat-ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia.

Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam dari Al Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu ,maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu islam di Negara ini.

4.MENDESAK supaya perlaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua matapelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa yang lain , di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat .

5.MENUNTUT agar kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat, sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari pelbagai bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa yang lain,

6.MENDESAK agar tulisan jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan Negara termasuk mengalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan jawi sebagai identiti negara,

7.MENEGASKAN bahawa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya, namun bukan dengan cara mengenepikan bahasa Melayu sebagai pengantar matapelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masakini,

8.MENGGESA supaya penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor Negara semada awam mahupun swasta.

9.MENEGASKAN bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak boleh berdaleh dengan alasan pencapaiaan UPSR , PMR mahupun SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan perlaksanaan PPSMI,

10.MENDESAK supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai Negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuata bangsa dan Negara.

11.MENGESA agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar-pelajar disemua institusi pendidikan Negara agar bersama bersatu untuk membantah perlaksanaan PPSMI.-azm _